Tuesday 4 September 2012

CeritaCinta-Bab 22


Bab 22

Subhanallah, sungguh indah ciptaan Illahi Rabbi. Laut biru yang luas terbentang, sungguh damai terasa. Begitu hebat ciptaan Allah yang Maha Kuasa. Ciptaan-Nya dari langit hinggalah ke bumi tiada satu pun yang kurang.

Auni memejamkan matanya. Merasai angin laut yang begitu menenangkan jiwa. Hatinya menjadi tenang jika dia melihat dan merenung jauh salah satu ciptaan Illahi yang begitu mengasyikkan ini.

“Assalamua’laikum. Amboi, kau tidur ke tu?”

“Waa’laikumussalam. Eh, Lisa. Bila kau sampai? Tak perasan pula aku.”

“Baru je. Sampai-sampai je, aku terus datang sini. Dari jauh aku tengok kau asyik je. Kau ingat kat siapa tu? Suami kau ye?” Lisa mengambil tempat disebelah Auni. Ditepuknya bahu si Auni. Biasalah, hendak menyakatlah tu, apalagi?

“Eh! Mana ada aku ingat kat dia. Nak buat apa? Mana adalah.” Auni cuba berdalih. Padahal, hatinya itu 24 jam asyik teringatkan Ery. Ingat Lisa tidak tahu ke? Huh! Malu nak mengaku pula?

“Eleh, ye la tu. Orang dah ada suami, mestilah asyik teringatkan dia je, kan? Sampai aku pun kau dah lupa.” Lisa seolah-olah merajuk.

“Lisa, mana ada aku lupakan kau. Kau nak tahu tak? Kau lah sahabat aku for ever and ever. Mana boleh aku lupakan kau.” Auni cuba memujuk.

Ya, Lisa sememangnya sahabat yang paling terbaik yang Auni miliki. Tidak kira di waktu senang ataupun susah, Lisa senantiasa ada bersamanya. Terutamanya sewaktu Auni masih belum lagi bergelar sebagai seorang isteri kepada Nur Khairi ‘Ilman, sewaktu keluarga Auni yang berada di dalam kesusahan dan sangat memerlukan bantuan. Lisa dan keluarganyalah yang banyak membantu. Jadi, bagaimana mungkin Auni boleh melupakannya? Tidak, Auni akan mengingatinya sampai bila-bila.

“Oh, betul ke ni? Kalau macam tu, gembira aku dengar.”

“Eh! Mestilah betul. Aku tak ada pun sahabat selain kau, Lisa. Kau dan keluarga kau dah banyak sangat tolong aku. Terima kasih banyak-banyak ye, Lisa. Aku tak tahu macam mana nak balas jasa-jasa kau dan keluarga kau.” Air mata Auni sudah bertakung, menunggu masa hendak melimpah sahaja.

“Auni, janganlah macam ni. Jangan menangis. Aku dan keluarga aku tolong kau tak minta apa-apa balasan pun. Kami betul-betul nak tolong kau sekeluarga. Itu sahaja, sebab dah menjadi tanggungjawab sesame Muslim, kan.” Lisa menggenggam erat tangan sahabatnya itu. Air mata Auni juga disapunya.

Auni tersenyum. Lisa dan keluarganya begitu baik sekali. Keikhlasan yang ditunjukkan oleh mereka tidak dapat dinafikan lagi. Mereka benar-benar mahu membantu tanpa meminta balasan.

“Auni, dah la. Tak nak nangis-nangis lagi. Ingat, kau tu dah jadi isteri orang tau.”

“Kenapa? Kalau dah jadi isteri orang tak boleh nangis ye? Macam tu?” Aunii mengesat air matanya yang masih lagi berbaki. Tergelak dia mendengar kenyataan daripada Lisa.

“Eh, mestilah tak boleh. Dah jadi isteri orang, kan. Mesti happy, betul tak?”

Auni segera mengalihkan pandangannya jauh ke pantai. Dia sendiri tidak tahu apa yang dia rasa di lubuk hatinya. Dia tidak pasti sama ada dia gembira ataupun tidak.

“Auni? Kenapa ni? Kau ada masalah dengan Ery ke?” Lisa dapat membaca perubahan air muka Auni. Lisa pasti, pasti ada sesuatu yang Auni cuba sembunyikan.

“Entahlah, Lisa. Aku pun tak tahu sama ada itu masalah aku ataupun masalah dia. Aku buntu. Hhm… memang betul pun, sepatutnya seseorang perempuan tu, pasti akan happy sebab dah bergelar isteri orang. Tapi aku? Aku tak pasti sama ada aku ni happy ke tidak?”

“Kenapa ni, Auni? Kalau kau ada masalah, kau ceritalah kat aku. Kau kata aku ni sahabat kau susah dan senang. Sekarang kau tengah susah hati, kan? Hah, ceritalah kat aku. Walaupun aku mungkin tak boleh tolong kau, tapi sekurang-kurangnya aku boleh dengar, kau boleh kongsi kesedihan kau dengan aku.”

“Aku tak tahu dari mana aku nak mula.”

“Kau cerita je dari mana pun. Panjang pun tak apa. Aku akan setia mendengar, sahabatku.” Lisa memberikan senyuman manisnya.

“Em, hari pertama aku bekerja kat resort adalah merupakan hari pertama aku berjumpa dengan Ery. Waktu tu, aku dah terkotorkan baju dia. Hari yang sama juga aku diberhentikan kerja sebab dia dah mengadu kat Encik Makmur pasal aku. Padahal aku dah minta maaf dah kat dia.”

“Masa tu, aku tak tahu nak buat apa lagi. Aku tak tahu macam mana nak bagi tahu mak aku, dia mesti sedih kalau aku bagitahu perkara yang sebenarnya. Masa tu jugak, aku takut nak bagitahu kau, aku takut kau akan anggap bantuan yang kau beri sia-sia sahaja.”

“Masa aku dah diberhentikan kerja tu. Aku betul-betul sedih, tapi tiba-tiba Ery datang rumah aku. Dia cakap Encik Makmur terima balik aku bekerja kat resort, dia juga cakap yang dia dah tarik semula kenyataan dia pada Encik Makmur. Dia cakap, dia betul-betul menyesal dengan tindakannya.”

“Hanya Allah sahaja yang tahu, macam mana gembiranya aku waktu tu sebab aku dah dapat kerja aku balik. Aku pergi ke resort tu dengan mak aku, Ery yang bawakan kami ke sana dengan kereta mewah dia. Tu first time tau, aku dan mak aku naik kereta mahal-mahal macam tu. Pertama kali seumur hidup.”

“Masa kat resort, dia macam ada bergaduh dengan seorang perempuan. Sampai sekarang aku tak tahu siapa perempuan tu. Tengah je dieorang bergaduh, tiba-tiba Ery cakap yang aku ni, ‘bakal isteri’ dia. Naik hangin aku satu badan. Sesedap dia je.”

“Masa tu aku sepatutnya pergi jumpa dengan Encik Makmur tapi entah macam mana entah aku kena pergi ikut dia pergi jumpa wartawan dia. Malam baru aku sampai rumah. Tiba-tiba malam tu, dia ajak aku kahwin, kau tahu? Masa tu aku rasa macam nak tampar je muka dia. Dia buat sesuka hati dia je. Mula-mula dia cakap aku ni ‘bakal isteri’ dia, okay tak apa aku maafkan. Lepas tu, dia cakap dia nak kahwin dengan aku? Huh! Aku rasa geram, marah sangat waktu tu.”

“Tapi akhirnya kau terima, kan?” setelah lama mendengar dan membisu, Lisa bersuara.

“Ye, memang aku terima.”

“Sebab apa?” Lisa mahukan lagi jawapan daripada Auni.

“Em, entahlah. Aku pun tak tahu kenapa aku terima dia.”

Lisa hanya tersenyum mendengar jawapan daripada Auni.
“Okay, tak apa. Teruskan.”

“Em, lepas tu aku bagitahu ayah aku. Mau tak mengamuk dia, masak aku dia kerjakan. Dia berkeras tak bagi aku kahwin dengan Ery. Dia cakap aku dah buat benda yang tak senonoh.”

“Aku bagitahu Ery yang ayah aku tak bagi aku kahwin dengan dia. Lepas tu, dia cakap dia nak jumpa sendiri dengan ayah aku, nak bincang semula. Aku tak bagi, masa tu kau tahu kan macam mana perangai ayah aku?”

Lisa hanya mengangguk tanda dia sangat faham dan mengerti.

“Tapi rupa-rupanya ada hikmah dia datang jumpa dengan ayah aku. Ayah aku berubah. Betul-betul berubah. Aku dengan mak aku bersyukur, gembira yang teramat sangat. Aku tak tahu macam mana nak cakap kat kau, macam mana perasaan aku masa tu.”

Lisa tersenyum. Dia juga turut bersyukur dengan perubahan sikap Pak Badar.

“Em, lepas tu. Mama Ery datang jumpa aku sekeluarga. Aku punyalah berdebar-debar waktu tu. Ye la, aku takut mama Ery tak boleh terima aku.”

“Tapi hari tu, mama Ery terus keluar daripada rumah bila dia nampak ayah. Pada mulanya aku tak tahu sebab apa, tapi setelah ayah terangkan kat aku, baru aku faham kenapa mama Ery terburu-buru keluar. Rupa-rupanya abang aku yang sulong ayah jual dekat mama Ery. Ya Allah, betapa kecilnya dunia.”

“Aku dengan keluarga aku bersyukur sangat-sangat kepada Allah Taa’la, sebab pertemukan seorang anak yang telah lama terpisah dengan ibunya. Walaupun setakat ini kami tak berjumpa lagi, tapi kami tetap gembira mendengar berita tentang dia.”

“Kau tahu Lisa, aku sekarang ni dah ada abang. Aku rasa tak sabar nak jumpa dia, tapi kadang-kadang aku takut juga. Aku takut yang dia tak boleh terima aku sebagai adik dia dan mak ayah aku sebagai mak ayah kandung dia.”

“Insyallah, Auni. Banyakkanlah berdoa. Aku yakin abang kau boleh terima. Percayalah.” Lisa memberikan kata-kata semangat kepada Auni. Dia tahu sahabatnya itu gembira tetapi sedikit bimbang.

“Terima kasih, Lisa.”

“Terima kasih? Untuk apa?”

“Untuk segala-galanya. Aku ucapkan berbanyak-banyak terima kasih dekat kau.”

“Sama-sama, Auni. Itulah gunanya sahabat, kan?”

Mereka berpelukan dan senyum bersama. Terasa begitu indah persahabatan yang terjalin antara keduanya.

“Tapi Lisa. Aku takutlah.”

“Takut apa pula?” pelukan dileraikan.

“Aku takut, macam mana aku nak jadi isteri kepada Ery. Aku tak tahu macam mana nak jadi isteri yang baik untuk dia.”

“Kenapa pula kau cakap macam tu, Auni? Kau dengan dia dah kahwin dah, kan?”

“Ye, memang aku dengan dia dah kahwin. Tapi kami kahwin atas dasar apa pun aku tak pasti.”

“Auni, tak baik kau cakap macam tu. Apa-apa pun sekarang ni, dia tu suami kau. Kau kena taat dan patuh arahan dia, selagi mana tak melanggar syariat agama.”

“Ye, aku tahu tu, Lisa. Tapi, boleh ke dia terima aku sepenuh hati dia? Dan aku? Boleh ke terima dia sepenuh hati aku?”

Lisa hanya terdiam. Dia mencari-cari jawapan yang sesuai dari soalan Auni.

“Lisa, aku dengan dia sebelum ni tak pernah jumpa pun. Tup-tup, bila terjumpa terus kahwin. Latar belakang masing-masing, tak tahu macam mana. Dia mungkin dah kenal keluarga aku, kawan aku. Tapi aku? Aku tak tahu macam mana keluarga dia, kawan-kawan dia. Aku takut, Lisa. Aku takut aku tak boleh bawa diri aku nanti.” Air mata Auni mula menitis. Dia sangat bimbang mengenai hal tersebut. Dia bimbang untuk meneruskan kahidupan sebagai seorang isteri kepada seseorang lelaki yang asing bagi dirinya, walaupun lelaki tersebut telah sah menjadi suaminya.

Lisa tahu sahabatnya itu berada dalam keadaan resah dan gelisah. Diraihnya tubuh Auni. Dia memeluk sahabatnya itu untuk menenangkan hatinya. Dia masih mencari kata-kata yang sesuai untuk diberikan kepada Auni. Dia tahu, Auni amat memerlukan kata-kata darinya saat ini.

“Auni, aku tahu macam mana perasaan kau sekarang ni. Aku tahu kau dan Ery kahwin bukan atas dasar cinta.”

“Auni, cinta tu sesuatu perkara yang kita tak nampak. Kita tak tahu macam mana bentuk dan sifatnya. Tapi, kita boleh merasainya, Auni. Sebab ia berada dalam diri kita, pada hati kita. Aku yakin, cinta diantara kau dan Ery akan hadir. Percayalah, Auni. Kau akan dapat hidup bahagia dengan dia. Insyallah, aku akan sentisa doakan kau. Bila kau dah kahwin dengan Ery, kau mesti terima keluarga dia dan kawan-kawan dia. Cuba Auni, cuba okay? Insyallah. Aku yakin, kau boleh!”

“Aku boleh ke, Lisa?” Auni menginginkan kepastian.

“Insyallah, Auni. Kau boleh! Lagipun aku tengok perkahwinan antara kau dengan Ery ni banyak membawa kepada perkara-perkara yang positif.”

“Positif? Maksud kau?” Auni musykil.

“Ye la. Cuba kau perhatikan betul-betul. Ayah kau dah berubah ke arah kebaikan. Kau dah jumpa semula dengan abang kau. Semua tu perkara-perkara yang positi, yang baik kan? Dan aku yakin dan percaya, lepas ni pasti akan banyak lagi perkara-perkara yang positif yang akan kau dapat. Insyallah. Perancangan daripada Allah, Auni. Kita tak tahu macam mana. Memang dah tertulis jodoh kau dengan Ery. Sama ada kau dan Ery suka atau tidak kau kena terima. Setiap perancangan daripada Allah adalah yang terbaik buat hamba-hamba-Nya, walaupun pada pandangan kita tidak. Yakin dan percayalah, perancangan dan ketentuan Allah mengatasi segalanya.”

Kata-kata Lisa membuatkan hati Auni menjadi semakin yakin dan berani. Dia akan cuba menjadi isteri yang baik untuk Ery. Dia akan cuba untuk mengenali Ery dengan sebaik mungkin. Serta mungkin juga perasaan kasih dan cinta akan lahir dalam jiwa dan hatinya bukan kepada orang lain, tetapi kepada Ery, suaminya. Tidak mustahi, bukan?

“Terima kasih, Lisa.”

“Sama-sama, Auni. Kau ni kan, dah berapa kali cakap terima kasih dekat aku. Tak penat ke? Aku ni penat tau bercakap. Tak ada pun kau sediakan aku air ke? Kuih ke?” Lisa sudah mula dengan celotehnya.

“Ya Allah. Aku luapalah, Lisa. Jomlah kita masuk rumah. Aku buatkan air yang special untuk kau.” Auni mengenyitkan matanya.

“Tak payah masuk. Ni mak dah bawakan dah. Air teh dengan cempedak goreng.” Mak Jenab meletakkan dulang di atas pangkin.

“Ish! Auni ni. Tengok, mak cik pula yang kena bawa. Terima kasih ye, mak cik.” Lisa menepuk Auni sambil memberikan senyuman manisnya kepada Mak Jenab.

“Sakitlah.” Auni menyapu-nyapu bekas tepukan Lisa.

“Padan muka.”

“Dah, sudah. Jangan bergaduh depan rezeki. Tak elok. Mak cik tau, kamu berdua ni kalau berborak memang tak ingat dunia. Tu yang mak cik bawakan kat sini. Hah, jemputlah makan, Lisa.”

Mereka ketawa, seronok dan gembira apabila bersama-sama. Pasti Auni akan merindui suasana yang sebegini apabila dia mengikut Ery pulang ke Kuala Lumpur. Dia tidak pasti sama ada dia boleh merasai suasana yang semacam ini apabila berada di sana nanti. Semoga Allah mempermudahkan segala urusannya.