Friday 2 March 2012

CeritaCinta-Bab 12

Kereta mewah Ery sekali lagi memasuki laman rumah usang Auni. Keadaan sekeliling rumah tersebut gelap gelita, hanya cahaya lampu kereta Ery sahaja yang mencerahkan sedikit keadaan. Mereka boleh sahaja pulang lebih awal, akan tetapi Auni meminta agar dia mahu menunaikan solat A’sar yang sudah menghujung waktu dan solat Maghrib yang akan menjengah tiba. Auni khuatir jika dia pulang, dia akan kehilangan kedua-dua waktu solat tersebut. Dia mahu menunaikan kewajipan yang wajib dia laksanakan.
Faizal yang buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke teratak Auni tenganga dan tercengang dengan keadaan rumah Auni. Keadaan rumah tersebut sudah cukup mengambarkan keadaan hidup Auni sekeluarga. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana sekiranya dirinya berada di tempat Auni. Pasti terlalu sukar untuk hidup.
“Jemputlah masuk. Ery, Faizal.” Mak Jenab tidak berencik-encik lagi dengan Ery dan Faizal, kerana mereka lebih selesa jika perkataan ‘encik’ tidak digunakan. Pada mulanya, Mak Jenab terkejut juga apabila dapat mengetahui bahawa Ery sebenarnya adalah seorang pelakon yang terkenal di Malaysia ini, dia cuma menyangkakan yang Ery adalah salah seorang pekerja resort.
Mak Jenab mempelawa mereka untuk masuk ke dalam rumah, lagipun angin ombak yang bertiup diluar agak kuat dan bulu roma sudah naik kerana kesejukan. Namun, belum sempat Mak Jenab mahu melangkah masuk, Ery menghampirinya.
“Mak Cik, Auni...saya betul-betul minta maaf dengan apa yang dah berlaku. Semua tu salah saya.” Tidak putus-putus kata maaf keluar dari mulut Ery. Dia sebenarnya menyesal dengan segala yang berlaku. Bukan niat hatinya untuk mengheret Mak Jenab dan Auni di dalam masalahnya.
“Tak apalah Ery, benda dah nak jadi.” Mak Jenab bersikap tenang. Dia betul-betul kasihan melihat wajah Ery.  
“Mak, Auni masuk dulu ye.” Auni yang berada di sebelah Mak Jenab tidak mahu melihat muka Ery. Dia menyampah, meluat dan sungguh menjengkelkan!
“Auni.” Langkah Auni terhenti apabila mendengar Ery memanggil namanya dalam nada yang sungguh sayu sekali, namun perasaan sakit di dalam hatinya memaksa kakinya untuk meneruskan hayunan.
“Auni, maafkan saya.” Langkah Auni terhenti sekali lagi mendengar kata kemaafan dari Ery. Terasa sungguh syahdu di telinganya. Dia memusingkan badannya.
“Maafkan saya. Saya betul-betul minta maaf. Tolonglah cakap yang awak akan maafkan saya.” Ery berlutut dihadapan Auni. Dia juga sebenarnya tidak mampu untuk terus berdiri. Dia sudah tidak kuat untuk mengharungi semua dugaan yang menimpa dirinya.
Auni benar-benar terkejut dengan perlakuan Ery. Auni tidak menyangka yang Ery akan berlutut hanya untuk mendengar kata maaf darinya. Rasa belas kasihan dan simpati serta merta bertandang dihati.
Auni selangkah kehadapan. Dia menarik nafasnya sebelum bersuara.
“Ery. Saya maafkan awak.”
Sebaik sahaja mendengar kata maaf dari mulut Auni, Ery segera bangun. Hatinya berbunga senang dan bersorak gembira.
“Betul ke awak dah maafkan saya?” Ery mencari-cari kepastian dari wajah Auni.
“Ye. Dah la, awak pergilah balik.” Auni hanya menundukkan pandangannya. Tidak mahu matanya bertemu dengan anak mata Ery.
Melihatkan sikap Auni yang sangat baik hati itu. Hati Ery tersentuh. Perasaannya bergelora. Otaknya ligat berfikir dan jantungnya berdegup dengan kencang. Maka dengan sebab itulah dia yakin dan berani untuk melafazkan kata yang selama ini sukar untuk dilafazkannya di alam realiti.
“Auni. Sudikah awak berkahwin dengan saya?” Lancar dan jelas sahaja perkataan tersebut keluar dari mulut Ery.
Serta merta Auni memandang wajah Ery. Dia pula mahukan kepastian dari kata-kata Ery. Mak Jenab dan Faizal turut menuntut kepastian dari apa yang didengar oleh mereka.
‘Ery ni biar betul?!’ Faizal seolah-olah tidak percaya.
Auni melangkah meninggalkan Ery setelah kepastian tersebut gagal ditemuinya. Hanya anggukan dan senyuman yang diberikan Ery.
“Auni. Saya betul-betul ni. Saya tak main-main.”
Auni mempercepatkan langkahnya. Dia tidak mahu mendengar apa-apa lagi perkataan yang keluar dari mulut Ery. Auni merasakan seolah-olah Ery cuba mempermain-mainkan perasaannya. Hatinya sakit dan sedih!
Mak Jenab juga tidak mahu untuk terus berdiri lama di situ. Dia mahu menenangkan hati anak perempuannya itu.
“Ery, dah la tu. Jom la kita balik.” Faizal yang sedari tadi diam tidak bersuara sudah tidak tahu untuk berkata apa-apa lagi dengan sikap Ery yang seakan tergopoh-gapah itu. Jika hendak melamar pun, biarlah ada stretegi. Ini tidak, main serbu saja.
Ery hanya mengeluh kecil. Dia sedar bahawa dia sudah tersilap kata. Sekali lagi.
Namun apakan daya, dia juga tidak tahu mengapa perkataan tersebut lancar keluar dari mulutnya, tidak semasa dia berhadapan dengan Arisya. Perkataan tersebut sukar untuk diluahkannya. Mulutnya seolah-olah mogok untuk mengeluarkan perkataan tersebut.
Jika sewaktu lakonan perkataan tersebut adalah dari skrip dan arahan pengarah bukan dari hatinya. Namun, adakah kata lamaran yang dikeluarkan pada Auni adalah dari lubuk hatinya yang dalam? Ery sendiri gagal untuk bertemu dengan jawapan dari soalannya.
*********
Ery merebahkan diri ke atas katil empuk resort. Dia meraup mukanya. Terasa berat kepalanya dengan masalah-masalah yang berlaku.
Faizal yang selalunya seorang yang kepoh dan riuh seolah-olah sudah bertukar watak. Mulutnya seakan-akan terkunci untuk bersuara. Dia sebenarnya sudah pening dengan perangai Ery. Walaupun begitu, dia tetap akan membantu Ery dalam apa sahaja masalah yang melanda diri artis dibawah jagaannya itu.
“Ery, kau betul-betul serius ke dengan apa yang kau cakap tadi?”
“Ye, aku serius. Habis, aku nak buat apa lagi, Faizal? Cuba kau beritahu aku.”
“Tak adalah, aku cuma peliklah dengan kau ni. Kau suka dengan orang lain, tapi melamar orang lain. Apa cerita ni, beb?”
Ery mendiamkan diri. Sememangnya dia tidak mahu menceritakan perkara yang sebenarnya kepada Faizal, mengenai Arisya. Namun, dia tidak mahu menyorokkan apa-apa lagi dari pengetahuan Faizal.
“Sebenarnya aku ada jumpa dengan Arisya sebelum kita datang ke pulau ni, aku pergi jumpa dia sebab aku nak melamar dia.” Satu-persatu perkataan yang keluar dari mulut Ery.
“Hah! Ye ke?! Habis tu dia cakap apa?!” Faizal betul-betul teruja.
“Belum sempat aku meluahkan isi hati aku ni, dia dulu yang beritahu aku yang dia sebenarnya sudah dilamar dan akan berkahwin.” Tidak semena-mena air mata Ery mengalir, matanya masih tertancap pada syiling bilik.
Air muka Faizal pula sudah berubah, mukanya yang tadi gembira sudah bertukar. Sekarang raut wajahnya menandakan yang dia juga turut sedih mendengar ayat yang keluar dari mulut Ery.
‘Dah di lamar?! Dah nak kahwin?!’
“Dengan siapa Ery? Siapa lelaki tu?”
“Haris.” Pendek jawapan yang diberikan oleh Ery.
‘Haris?! Patutlah siang tadi Ery seolah-olah tidak gembira dengan kedatangan Arisya. Patutlah Arisya bersama-sama dengan Haris di restoran, bukan dengan Ery. Patutlah Haris yang menenangkan Arisya sewaktu mereka bergaduh petang tadi. Patutlah Haris yang mengejar Arisya selepas Ery menyatakan yang Auni adalah ‘bakal isterinya’.’
Segala perkara yang berlaku dihadapan mata Faizal ligat bermain di benak fikirannya. Seolah-olah terdapat pita rakaman yang sedang berputar di kepalanya.
“Aku minta maaflah Ery. Aku tak tahu pun...”
“Dah lah, Faizal. Perkara yang dah lepas, malas aku nak fikir.” Ery bangun dari pembaringannya. Air mata yang masih lagi berbaki, dikesatnya.
“Kau nangis, Ery?! Apa barang hero Malaysia menangis sebab cinta ni? Tak kan kau nak frust menonggeng kot? Habislah kalau orang lain tahu ni. Aku nak juallah cerita ni. Mesti laku, aku juga yang dapat duit.” Faizal sudah mula dengan celotehnya.
“Banyaklah kau. Habuk masuk dalam mata aku lah.” Ery cuba berdalih.
“Hah! Ye ke, besar tak habuk tu?!” Faizal sedikit terlompat dan membuat-buat gaya ala-ala ‘nyah’.
Ery tergelak melihat terletah sahabatnya itu. Faizal tetap ada bersama-sama dengannya walaupun dalam suka dan duka.
Faizal senang melihat Ery yang sudah mula tersenyum dan ketawa. Walaupun dia tahu, yang dia tidaklah dapat menyelesaikan masalah yang sedang Ery hadapi sekarang. Namun, dia akan cuba untuk menceriakan hati Ery.
“Tapi kan, Faizal. Kau rasa, betul tak apa yang aku buat ni?”
“Apa yang kau buat?” Faizal tidak faham dengan maksud kata-kata Ery, kerana sudah banyak perkara yang Ery telah lakukan.
“Tentang lamaran aku pada Auni. Kau rasa dia terima tak?”
Faizal hampir terlupa tentang kisah lamaran itu. Dia berfikir sejenak, mencari-cari jawapan yang sesuai untuk pertanyaan Ery itu.
“Kau betul-betul serius ke ni?”
“Kan aku dah beritahu tadi. Aku betul-betul serius. Aku nak kahwin dengan dia. Kau juga yang bagi aku cadangan ni dulu, kau lupa? Kau cakap, kalau aku kahwin, semua gosip yang melanda diri aku ni akan hilang.”
“Ye, memang aku bagi kau cadangan tu. Tapi pada perempuan yang kau suka, yang kau kenal. Auni ni, kau kenal ke? Kau suka ke?”
Ery terdiam.
“Entahlah Faizal. Aku pun tak tahu nak cakap apa. Aku rasa ada sesuatu yang ada pada diri Auni yang orang lain tak ada.”
Faizal tergelak.
“Aku rasa kau ni dah mula sukakan Auni, kan? Kau syok kat dia, kan?”
“Eh! Memandai je kau. Mana ada. Aku cuma ikut cadangan kau, aku nak selesaikan masalah aku. Itu je!” Wajah Ery sudah merah menahan malu.
“Okay, tak apa kalau kau syok kat dia pun. Tapi kau tak boleh main serbu macam tu je. Dia mestilah terkejut dengan tindakan kau tadi. Kau mesti ada rancangan yang baik dulu, baru kau boleh dapat dia.”
“Rancangan yang macam mana?”
“Macam ni...”
Ery setia mendengar setiap perancangan yang diberikan oleh Faizal. Dia juga mahukan yang rancangannya itu akan berjaya dan mendapat hasilnya.
*********
“Tak apa la mak, Auni okay je ni. Mak pergilah masuk tidur dulu ye.” Senyuman manis tetap diberikan oleh Auni.
Mak Jenab membalas senyuman. Dia tahu bahawa hati anaknya itu sedih. Namun, dia juga akur dengan permintaan anaknya itu. Auni pasti mahukan ketenangan sekarang. Mak Jenab menutup pintu bilik dan meniggalkan Auni supaya Auni boleh merehatkan dirinya.
Auni mengeluh kecil. Dia merasakan bahawa segala yang berlaku hari ini terlalu cepat baginya dan dia seakan-akan tidak percaya dengan semua yang terjadi.
‘Aku bermimpi ke sekarang ni?’ Auni menepuk-nepuk pipinya.
‘Sakit. Ini bermakna aku masih di alam realiti, bukan fantasi mahupun mimpi. Tapi sesedap dia je, kan? Mula-mula cakap aku ni ‘bakal isteri’ dia, lepas tu ajak aku kahwin pula? Dia ingat aku ni apa?! Huh! Geramnya!!!’
“Auni. Sudikah awak berkahwin dengan saya?”
Sebelum ini tidak ada sesiapa pun melafazkan kata keramat itu pada Auni. Tidak terlintas difikirannya untuk mendengar kata-kata tersebut keluar daripada mulut seorang lelaki kepadanya.
‘Betul ke tak mamat tu ye? Ya Allah, terlupa pula aku, dia kan pelakon. Mestilah mudah untuk dia berlakon, kan? Em, tadi pun dia mesti tengah belakon. Huh! Baik aku abaikan saja perkara tadi. Buat apa aku nak fikir? Buat sakit kepala, adalah!’
Auni membuat andaian sendiri. Sedangkan dia sendiri pun tidak tahu sebab munasabab yang sebenarnya. 
‘Sekarang baik aku tumpukan perhatian aku dengan kerja aku. Esok pagi, aku bersiap-siap pergi berjumpa dengan Encik Makmur. Hah, itu lebih baik. Tak payah aku nak fikir tentang mamat tu. Masalah dia, biar dia selesaikan sendiri. Aku, tak nak masuk campur. Masalah aku pun tak selesai lagi ni.’
Kelopak mata Auni sudah tidak bertahan lagi untuk terus terbuka. Pelahan-lahan kelopak itu jatuh menandakan yang tuan punya badan sudah tidak larat lagi untuk terus berjaga.
Masalah yang dihadapi untuk hari ni terlalu berat dirasa untuk dipikul. Masalah untuk hari yang mendatang pasti tidak diketahui bagaimana rupanya. Diri hanya mampu berserah kehadrat Ilahi, agar dipermudahkan segala urusan yang bakal tiba.

No comments:

Post a Comment