Friday 2 March 2012

CeritaCinta-Bab 13

Di pagi yang sungguh indah ini, Auni sudah bersiap sedia untuk pergi ke resort bagi memulakan tugas demi menampung kehidupan ahli keluarganya. Namun belum sempat dia mengatur langkah, skuter Lisa sudah meluru masuk ke halaman rumahnya. Keadaannya seperti orang yang tergesa-gesa. 
“Eh, Auni. Kau ni, kenapa tak bagitahu aku yang kau tak pergi kerja hari tu sebab pelakon tu, hah? Cakap tak sihat konon. Kau tahu tak semalam Encik Makmur cari kau. Dia cakap pelakon tu nak bawa kau pergi jumpa dia untuk lapor diri bagai. Lepas tu, petang semalam kawan aku nampak kau dengan mak kau ikut pelakon tu, korang buat apa?” Sesak dan semput Lisa menyatakan segala kemusykilannya kepada Auni.
“Bawa mengucap Lisa. Cerita-cerita tu semua dah basi la. Nanti aku cerita kat kau dari mula sampai habis ye.” Tergelak Auni melihat gelagat Lisa yang cakap laju seperti tren keretapi.
Memang niat di hati mahu diceritakan semuanya itu kepada Lisa jika dia berjumpa dengan Lisa di resort nanti, tapi nampak gayanya Lisa sudah tahu segala cerita mengenainya. Jadi senang sikitlah kerjanya nanti untuk menghuraikan segala kekusutan yang membelengu di fikiran sahabatnya itu.
“Basi kau cakap. Habis tu ni apa?” Lisa menghulurkan surat khabar yang dibawanya. Terperanjat juga dia apabila sahabat-sahabatnya di restoran resort berkerumun melihat tajuk utama akhbar hari ini. Jelas terpapar wajah Auni dengan Ery.
Nampak gayanya yang ini agak susah dan rumit untuk Auni jelaskan kepada Lisa. Ceritanya terlalu panjang.
*****
“Apa ni Faizal?! Kau cakap diaorang akan siarkan dalam majalah hiburan tu je. Yang keluar kat surat khabar ni apahal?!” Ery sudah ke hulu, ke hilir tidak tentu arah apabila muka dan namanya bersama dengan Auni terpapar di muka depan surat khabar.
“Aku betul-betul tak tahu pasal benda ni Ery. Memang diaorang dah janji tak akan siarkan dalam surat khabar.”
“Janji?! Habis tu, ni apa?!”
‘Ni mesti diaorang dah jual cerita ni kat pihak akhbar. Nak cari untung lebih la tu!’
“Tak apa Ery. Kau rileks dulu. Kau jangan gelabah tak tentu arah macam ni. Kau kena ingat, pagi ni kau ada shooting. Kau jangan nak rosakkan mood kau pula.”
“Rileks, kau cakap?! Aku memang tak ada masalah dengan benda ni sangat. Yang menjadi masalahnya sekarang, macam mana aku nak cakap dengan Auni pasal benda ni? Macam mana aku nak terangkan pada dia?”
“Em, ye tak ye juga, kan. Auni mesti akan serbu kau punya. Macam ni je la, apakata kau melutut kat depan dia, lepas tu minta maaf. Ala, macam yang kau buat dekat depan rumah dia semalam tu. Senang kan? Kau kan pelakon, perkara tu mesti mudah untuk kau.”
“Faizal, aku tak pandai belakon dalam hal yang betul-betul berlaku di hadapan mata aku. Aku tak pandai berlakon di alam realiti ni. Dunia lakonan dan alam realiti ni berbeza. Lain. Kau tak akan faham.”
“Habis tu kau nak buat macam mana?” Faizal mengaru-garu kepalanya. Dia buntu.
“Aku ada cara aku sendiri.” Ery memberikan pandangan yang sukar untuk di tafsirkan.
*****
Auni sudah bersiap sedia dengan pakaian kerjanya. Tudung yang dipakai dikepala dirapikannya. Langkahnya di atur untuk menjalankan tugasnya.
Hairan juga Encik Makmur apabila Auni masih mahu bekerja di resort tersebut, sedangkan dia sudah menjadi ‘bakal isteri’ seorang artis yang ternama.  
Selepas dia berjumpa dengan Encik Makmur tadi, dia segera menuju ke bilik persalinan untuk menukar pakaian. Auni menunjukkan muka selambanya, walaupun dia agak kekok kerana Encik Makmur tersengih-sengih apabila bercakap dengannya.
‘Ni mesti pasal mamat tuh!’
Auni bertekad di dalam hatinya, yang dia akan bekerja bersungguh-sungguh dan akan mengabaikan segala perkara yang terjadi sebelum ini. Dia akan melupakan segala perkara yang berkaitan dengan Ery dan dia akan menganggap seperti kejadian tersebut tidak pernah terjadi sebelum ini.
Sedang dia asyik mengelap cermin pintu yang menjadi laluan keluar masuk pengunjung, matanya terlihat pengambaran yang sedang dijalankan berhampiran dengan resort tersebut.
‘Ooo...macam ni orang berlakon rupanya. Penuh orang dekat sekeliling kamera, tapi dalam tv kita tak nampak orang ramai pun.’
Kelihatan Ery sedang berlakon bersama-sama seorang pelakon wanita.
‘Amboi, bukan main lagi kan. Dia boleh tersenyum lagi. Huh! Meluat pula aku tengok muka mamat ni. Ya Allah, Auni! Sudah! Jangan pedulikan mamat tu lagi. Fokus dengan kerja kau!’
Sebal dan menyampah Auni melihat Ery yang seolah-olah tiada masalah yang berlaku.
***
“And...cut! Okay everybody. Kita rest dulu, setengah jam lagi kita sambung.” Jelas kedengaran suara director.
Masa inilah yang ditunggu-tunggu oleh Ery untuk berjumpa dengan Auni.
“Faizal, nanti kalau dah start, kau call aku ye.” Ery memperingatkan Faizal. Takut terlajak.
“Okay.” Faizal hanya memberikan isyarat.
Ery mencari-cari kelibat Auni, namun gagal ketemu. Berlari-lari anak dia menuju ke ruangan menunggu. Akhirnya matanya tertancap pada susuk tubuh yang sedang mengemop lantai di situ. Dia tahu yang manusia itu adalah orang yang dicari-carinya.
Perlahan-lahan Ery melangkah menghampiri Auni. Sedang Auni pula masih khusyuk melakukan tugasnya.
“Ehem!” Ery berdehem.
Segera Auni memberikan laluan kepada suara itu, kerana mungkin orang tersebut mahu lalu di situ. Sempat juga dia mengalihkan pandangannya kepada suara tersebut.
Sebaik sahaja matanya bertentang mata dengan Ery yang sedang memberikan senyuman manisnya itu, serta merta Auni mengalihkan pandangannya. Auni juga berpura-pura tidak mengenali Ery, dia tetap meneruskan kerjanya.
“Em, awak.” Lembut Ery memanggil Auni.
Auni mengunci mulutnya, dia tetap dengan pendiriannya. Dia tidak mahu ada apa-apa lagi hubungan dengan Ery. Ery telah memporak-perandakan hidupnya!
‘Eh! Minah ni tak baca surat khabar ke pagi ni? Dia tak tahu ke yang nama dia dan aku dah naik dekat muka depan surat khabar? Kenapa dia tak marah aku ni?’ Musykil Ery di buatnya. Pada mulanya, Ery sudah bersiap sedia untuk mendengar segala kemarahan yang akan dilontarkan oleh Auni kepadanya. Namun, nampak gayanya persediaannya itu, sia-sia.
“Ke tepikan kaki encik, boleh tak? Saya nak mop lantai ni.” Sengaja Auni mop lantai tersebut dengan ganas. Dia memang mahu Ery terkena air pecikan mop tersebut.
‘Padan muka!’
‘Sabar Ery. Sabar.’
Setelah selesai kerjanya mengemop lantai di situ. Auni mengangkat baldi dan meninggalkan Ery dalam keadaan yang terpinga-pinga.
‘Eh, eh...boleh dia tinggalkan aku macam tu saja?’ Ery sudah naik angin.
“Auni! Berhenti!” Dengan menggunakan suara yang lantang, Ery menjerit.
Semua mata yang berada di situ tertumpu kepada mereka berdua.
Merah padam muka Auni menahan malu. Mukanya terasa panas. Langkahnya segera diberhentikan.
Ery menghampiri Auni. Dia berdiri betul-betul dihadapan Auni. Air mukanya menunjukkan yang dia senang memperlakukan Auni dengan sebegitu rupa.
“Kalau awak tak nak dimalukan lagi. Baik awak ikut saya.” Ery berbisik memberikan arahan dengan senang hati.
Auni terpaksa akur dengan permintaan Ery. Mahu tidak mahu, dia terpaksa patuh. Dia tidak dapat membayangkan perkara apalagi yang Ery akan buat untuk memalukan dirinya dengan hanya beralasankan Auni harus ikut segala arahan Ery.
‘Baru kau tahu aku siapa. Ha ha ha.’ Ery puas dengan tindakannya itu.
Sebaik sahaja kedudukan mereka sudah jauh dengan orang ramai. Auni menghempaskan baldi yang dibawanya tadi. Habis air terpecik keluar. Terlompat Ery dibuatnya.
Muka Auni sudah merah kerana menahan marah. Nafasnya  turun naik. Geram yang teramat sangat dengan sikap Ery!
“Awak nak apa lagi, hah?! Kenapa awak tak habis-habis nak kacau hidup saya?!” Belum sempat Ery membuka mulut, Auni sudah pun ‘menyembur’ dahulu.
“Tak, saya bukan nak kacau hidup awak.”
“Habis tu?! Awak nak apa?!”
“Saya cuma nak kahwin dengan awak, itu saja.” Ery menunjukkan muka kasihan.
Auni terdiam. Tiada kata lagi yang keluar dari mulutnya.
“Awak boleh bagi saya alasan yang kukuh sikit tak? Kenapa saya kena kahwin dengan awak?!” Setelah agak lama berdiam, akhirnya Auni bersuara.
“Macam ni. Biar saya jelaskan dulu. Saya memang tengah mencari isteri sekarang ni. Tengah saya cari, secara tak sengaja saya jumpa awak dan saya rasa awak sesuai menjadi isteri saya.”
Ery sudah bersiap sedia untuk berlutut, namun segera di halang oleh Auni.
“Jangan berlutut! Malu kalau ada orang nampak”
‘Fuh! Selamat aku.’
“Tolonglah Auni. Terima saya. Saya betul-betul minta maaf atas apa yang dah berlaku. Tentang surat khabar tu, tentang semuanya. Semua tu, tanpa saya rancang. Bukan niat saya untuk memporak-perandakan hidup awak.”
“Tapi kita tak kenal pun sebelum ni. Saya tak tahu awak macam mana, dan awak tak tahu saya macam mana. Saya tak boleh terima awak.”
“Tak apa. Itu bukan alasannya. Lagipun saya mahu ubah hidup awak sekeluarga. Awak pun mesti nak tengok mak awak hidup senang, kan?”
Auni terdiam lagi. Ada betulnya apa yang diperkatakan oleh Ery. Memang dia mahu ibunya yang tercinta itu mengecapi kebahagiaan.
‘Aku memang nak mak aku hidup senang. Tapi bukan bermakna aku terpaksa kahwin dengan orang yang aku tak kenal!!’
“Awak sedar tak, kahwin ni bukan satu perkara yang main-main?” Auni masih lagi tidak boleh memberikan kata putus.
“Iye, saya sedar dan saya masih waras lagi. Kita bukan kahwin main-main, kita kahwinlah betul-betul. Saya terima awak seadanya dan awak juga terima saya seadanya. Boleh?” Ery memberikan cadangan.
Agak susah dan sukar untuk Auni membuat keputusan.
“Tolonglah, Auni. Saya merayu pada awak.” Ery menyusun sepuluh jari meraih simpati.
“Nantilah saya fikirkan.” Hanya itu yang dirasakan sesuai dilafazkan oleh Auni saat ini.
“Okay, saya akan tunggu, tapi cepat sikit ye. Saya tak lama dekat pulau ni. Lagi dua hari saya dah kena pergi tempat lain dah. Sekarang saya pergi dulu sebab saya kena sambung kerja saya. Nanti saya jumpa awak lagi.” Deringan handphonenya yang terpapar nama Faizal, menandakan bahawa dia tidak ada masa yang panjang untuk berbual dengan Auni. Sebelum berlalu pergi, Ery sempat memberikan senyuman kepada Auni.
Auni tidak dapat memberikan jawapannya pada Ery. Dia buntu. Dia tidak tahu sama ada dia harus terima Ery sebagai seorang suami ataupun tidak. Sempat juga di berfikir, adakah terdapat manusia yang berkahwin tanpa mengenali satu sama lain pada zaman moden, sekarang ini?
Kesal kerana tiada jawapan yang ditemui.

No comments:

Post a Comment