Sunday 4 March 2012

CeritaCinta-Bab 15

“Mak, Auni dah bagitahu dia, yang Auni dah terima dia.” Satu persatu perkataan keluar dari mulut Auni.


“Ye ke? Alhamdulillah...lega hati mak. Mak gembira Auni, akhirnya kamu jumpa juga kebahagiaan yang kamu cari.” Mak Jenab mengusap-usap kepala anaknya. Air matanya juga mengalir.

“Kenapa mak menangis ni?” Auni menyapu air jernih yang semakin berguguran pada raut wajah ibunya yang tercinta.

“Mak menangis, sebab mak gembira nak.” Mak Jenab memberikan senyuman.

“Kalau mak gembira, Auni lagi gembira, bila tengok mak gembira.” Auni memeluk erat satu-satunya bondanya itu.
Mak Jenab membalas pelukan tersebut.

“Tapi mak, macam mana dengan ayah?”

Mak Jenab meleraikan pelukan, apabila nama suaminya sampai kependengarannya.

“Ayah kamu? Em, nanti kita cakap dengan dia. Dia mesti setuju.” Mak Jenab berkata begitu adalah semata-mata untuk menyedapkan hati anaknya sahaja, padahal dia sendiri pun tidak pasti bagaimanakah reaksi Pak Badar jika hal perkahwinan Auni diberitahu kepadanya.

“Kalau dia tak setuju?” Auni risau sekiranya Pak Badar membantah keras.

“Insyallah, dia pasti setuju.” Mak Jenab memeluk kembali anaknya itu. Biar hilang segala keresahannya.

Sedang mereka masih duduk di birai katil di bilik Auni. Pintu rumah mereka di ketuk dengan kuat oleh Pak Badar. Sudah lewat malam begini baru ingat hendak pulang?!

“Jenab! Auni! Buka pintu ni?! Pekak ke?!”

Segera Mak Jenab pergi ke arah pintu untuk membukanya. Auni hanya berdiri disebalik langsir biliknya, memerhatikan Mak Jenab dari jauh.

“Hah! Hidup lagi rupanya? Aku ingatkan semua dah mampus tadi!” Sebaik sahaja daun pintu dibuka, perkatan yang sedemikian rupa keluar dari mulut Pak Badar. Bukannya hendak memberi salam, di jerkahnya lagi, adalah.

“Bang. Saya nak cakap sikit ni.” takut-takut Mak Jenab bersuara.

“Apadia?! Kalau kau nak nasihat aku, baik tak payah. Kau simpan saja nasihat kau tu.” Seperti biasa, apabila Pak Badar pulang ke rumah, dia akan duduk di atas kerusi rotan di bahagian ruang tamu. Nasib baik malam ini dia tidak mabuk. Pasti duitnya sudah habis untuk membeli arak.

“Saya bukan nak nasihat abang. Dah berbuih mulut saya ni nasihat, tapi abang tetap macam tu juga. Saya nak cakap pasal Auni.”

“Kenapa pula dengan dia?” Terperanjat juga Pak Badar. Tidak pernah-pernah selama ni Mak Jenab bercakap pasal Auni dengan dia. Ini mesti ada sesuatu ni.

“Ada orang nak kahwin dengan Auni. Abang setuju tak? Saya harap, abang setuju la.” Lambat-lambat Mak Jenab bersuara.

“Apa?!” Bagaikan nak terkeluar biji mata Pak Badar.

“Dengan siapa?! Kenapa tiba-tiba nak kahwin?! Dia dah buat benda yang tak senonoh ke?! Dia dah mengandung ye?!” Pak Badar sudah naik menyinga. Di pegangnya batang tengkuk Mak Jenab dengan rakus. Tidak di pedulikan rayuan Mak Jenab yang mengerang kesakitan.

Auni keluar dari biliknya dan meluru ke arah Mak Jenab. Tidak sanggup dia melihat ibunya diperlakukan sedemikian rupa.

“Ayah. Lepaskanlah mak.” Auni merayu.

“Oo...kau dah nak kahwin ye? Jantan mana yang dah rosakkan kau ni? Hah! Cakap!” Pak Badar mengherdik Auni pula.

“Kau dah pandai memalukan aku ye? Nanti kau, aku kerjakan.” Di tolaknya Mak Jenab oleh Pak Badar. Terjelopok Mak Jenab ke dinding. Dibukakannya tali pinggang yang dipakai. Dia mahu melibas Auni dengan tali pinggangnya itu.

“Ayah, sakit. Ayah...” Auni meraung-raung kesakitan. Merayu-rayu agar Pak Badar memberhentikan libasan tali pinggannya itu. Namun, laungan Auni bagaikan angin lalu sahaja di telinga Pak Badar. Dia langsung tidak menghiraukannya.

“Ayah. Auni tak buat benda yang tak senonoh tu. Auni kahwin bukan sebab tu.” Auni cuba untuk mempertahankan maruhnya. Dia bukanlah seperti yang Pak Badar sangkakan. Ajaran agama Islam masih kuat dipegangnya. Imannya masih kental. Dia tidak akan melakukan perkerjaan yang terkutuk itu.

“Oo...kau menjawab ye?!” Pak Badar meneruskan lagi libasan tali pinggannya kepada Auni. Sia-sia sahaja Auni mempertahankan maruahnya. Tidak dihiraukan langsung oleh Pak Badar. Semakin bertambah barannya, adalah.

Malam tu, memang ‘masak’ Auni dikerjakan oleh Pak Badar. Mak Jenablah yang akan memeluk mempertahankan Auni. Mak Jenab jugalah yang akan menyapu minyak pada birat yang terdapat pada tubuh Auni akibat libasan yang kuat dari tali pinggang Pak Badar.
Pak Badar sebenarnya risau. Sekiranya Auni berkahwin, siapa yang akan memberikannya wang? Pak Badar khuatir, jika Auni menjadikan alasan perkahwinannya adalah kerana dia mahu melarikan diri dari Pak Badar. Itu adalah sebab yang sebenarnya Pak Badar mengamuk.

Dia juga percaya, Auni tidak akan melakukan kerja yang terkutuk dan yang akan memalukan mereka sekeluarga. Dia tahu akan perihal anaknya yang mengutamakan agama. Tidak seperti dirinya, yang suka berjudi dan meminum arak, yang tidak menjadikan agama Islam sebagai landasan kehidupan.

********* 

“Wah...bukan main ceria lagi aku tengok kau ni, Ery. Aku tahu la kau dah nak kahwin. Tak payah la nak tunjuk sangat.” Faizal mengusik Ery. Dia juga tumpang gembira jika sahabatnya itu senang dan gembira.

“Pandai la kau. Aku macam biasa je la.”

“Eleh, biasa kau cakap? Muka 24 jam tersengih-sengih. Kepala kau tu mesti asyik ingat Auni saja, kan? Aku rasa kau sekarang ni mesti makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah. Tu yang berbau semacam je ni.” Faizal berseloroh.

Hey, kawan. Makan boleh sebarang makan, tapi cakap jangan sebarang cakap. Aku masih waras lagi la. Sekarang ni aku rasa, bila makan aku semakin kenyang, bila tidur aku semakin lena, bila mandi pula aku semakin basah lah! Dah kena air, kan. Mesti basah, ma...”

Serentak mereka ketawa. Berterabur habis.

“Eh! Bila kau nak pergi jumpa family Auni? Aku nak ikut la.”

“Banyak la kau punya ikut. Buat apa? Kacau daun saja. Baik kau duduk sini diam-diam. Cover line untuk aku.” Ery tidak mengendahkan permintaan Faizal. Dia asyik menyapu jem ke atas roti bakar dan menyuapkannya ke dalam mulut. Apalagi, ‘terbakar’ la si Faizal.

“Kau ni memang la. Bila kau susah, kau cari aku. Bila kau dah senang sekarang, kau lupakan aku, ye. Tak apa, aku malas dah nak tolong kau lepas ni.” Faizal berpura-pura merajuk. Padahal, Ery tahu yang Faizal sebenarnya berpura-pura.

“Alalala...abang Faizal kita ni merajuk pula. Macam ‘pompuan’. Nanti bila aku nikah, aku bawa la kau. Jangan risau, tempat pengapit tu, aku sediakan khas untuk kau.” Ery cuba memujuk.

“Ye ke, adik Ery? Kalau macam tu, tak apalah. Boleh juga.” Faizal membuat ala-ala ‘gediks’.

“Uweik! Nak muntah aku tengok kau buat macam tu. Geli aku.” Ery menegok air di hadapannya.

“Ha, siapa yang mulakan dulu?” Faizal pula menyuap roti ke dalam mulut.

Tiba-tiba Faizal ternampak kelibat Auni lalu dihadapan restoran. Mukanya kelihatan sugur.

“Eh, Ery. Aku rasa tadi Auni yang lalu dekat depan tu. Tapi muka dia...” Faizal menundingkan jari ke arah pintu restoran yang berada di belakang Ery.

“Ye ke? Aku nak pergi jumpa dia la sekejap. Kau tolong cover aku ye.” Belum sempat Faizal menghabiskan ayatnya Ery sudah memintas, kemudian terus bangun untuk bertemu dengan Auni.

‘Rindu la tuh. Huh!’

“Auni.” Ery memanggil. Namun Auni tidak mempedulikannya.

‘Mungkin dia tak dengar kot.’

Ery menghampiri Auni dan berdiri dihadapannya.

“Auni. Eh! Kenapa muka awak pucat je ni? Awak sakit ke?” Ery hairan. Muka Auni sememangnya berlainan daripada biasa. Mukanya terlalu pucat. Ery mula risau.

“Tak ada apa la. Saya okay je.” Auni berdalih. Dia tidak akan memberi tahu perkara yang sebenarnya kepada Ery. Macam mana muka dia tak pucat, semalaman dia kena hentam dengan ayahnya. Hilang semua tenaga di badan.

“Ye ke awak ni? Kalau awak sakit, saya boleh mintakan cuti untuk awak. Nanti saya jumpa dengan Encik Makmur ye? Lepas tu, saya hantar awak balik. Boleh saya jumpa dengan keluarga awak.” Ery cuba memujuk.

“Eh! Tak payah jumpa keluarga saya.”

“Kenapa pula? Hari tu awak cakap, saya boleh jumpa keluarga awak. Sekarang kenapa tak boleh?” Ery musykil.

 Auni terdiam. Dia menjadi serba salah. Dia tidak tahu sama ada dia patut bagitahu perkara yang sebenarnya ataupun tidak.

“Ayah saya...”

“Kenapa dengan ayah awak?”

“Ayah saya tak suka kalau kita kahwin.”

Ery terdiam. Dia terkejut. Dia tidak menyangka hal sebegini akan berlaku. Apa yang harus dia lakukan?

“Awak dah cakap dengan ayah awak ke?”

“Dah, saya dah cakap.”

“Kalau macam tu, biar saya pula yang bercakap dengan ayah awak. Saya akan cuba berbincang dengan dia.”

“Tak! Jangan! Awak tak kenal siapa ayah saya.” Auni cuba menghalang.

“Memang saya tak kenal siapa ayah awak, sebab saya tak jumpa dia lagi. Nanti bila saya dah jumpa dia, barulah saya akan kenal siapa dia, macam mana rupa dia...”

“Tak. Bukan itu maksud saya.” Auni binggung. Adakah dia harus memberitahu perkara yang sebenarnya? Dia buntu.

“Ayah saya tak macam orang lain, dia...”

Deringan handphone Ery menghentikan ayat Auni. Ini memberikan isyarat bahawa Faizal sudah memanggilnya untuk berada di set pengambaran dengan segera.

“Awak jangan risau, okay. Nanti saya akan jumpa dengan ayah awak. Saya akan cuba cakap elok-elok dengan dia. Awak jangan buat kerja yang teruk-teruk sangat. Awak tu tak berapa sihat. Saya pergi dulu.”

Ery berlari-lari anak menuruni tangga resort. Auni menjadi serba salah. Dia merasakan Ery begitu prihatin akan dirinya. Adakah itu adalah sifat semulajadi dirinya? Auni tidak pasti.

Bagaimana sekiranya jika Ery tahu akan perangai sebenar ayahnya? Bagaimanakah reaksi dia? Ya Allah, Kau permudahkanlah segala urusan hamba-Mu ini.

No comments:

Post a Comment