Thursday 16 August 2012

CeritaCinta-Bab 20


Bab 20

Walaupun sudah pagi, cuaca diluar masih lagi gelap. Jam pula sudah menunjukkan pukul 5.30 pagi. Ini bermakna waktu subuh akan menjengah tiba menyeru umat Islam menghadap kiblat dan menyembah Allah yang Maha Esa.

Auni sudah terjaga dari tidurnya. Terkejut juga dia kerana sebaik sahaja matanya dibuka, wajah Ery betul-betul dihadapan mukanya, dan dia sekarang ini berada di dalam dakapan suaminya itu.
Auni meneliti wajah Ery.
‘Kacak juga suami aku ni.’ detik hatinya. Wajah itu dietenungnya lagi. Lama.

Auni hanya berani menatap wajah Ery sewaktu dia tidur sahaja. Jika tidak, dia tidak mampu untuk bertentangan mata dengan Ery. Pandangannya itu membuatkan jantung Auni berdebar-debar. Dia sendiri tidak tahu mengapa.

Dalam khusyuk Auni menatap wajah Ery, tiba-tiba Ery seperti terjaga. Auni segera memejamkan matanya, jika tidak pecah tembelanglah dia. ‘Kantoi’.

Rupa-rupanya Ery hanya membetulkan pembaringannya sahaja. Sekarang Ery sudah membelakangkan Auni.
‘Fuh!! Lega.’

Perlahan-lahan Auni turun dari katil. Takut nanti Ery terjaga. Padahal Auni tidak tahu yang si Ery tu bukan main liat lagi nak bangun tidur.

Auni menuju bilik air di ruangan bawah. Dia membersihkan dirinya, mengambil wuduk dan kemudian naik semula untuk menunaikan solat fardu subuh.

Setelah itu, Auni cuba mengejutkan Ery dari tidurnya.
“Awak, bangun. Dah subuh ni.” Lembut sahaja suaranya.
Namun usahanya itu gagal. Ery tetap tidak beranjak dari tempat tidurnya walau seinci, dan tetap kaku. Auni bimbang, jika dia kuatkan suaranya Ery akan melenting dan marah.

‘Ya Allah, macam mana ni? Kalau aku tak kejut nanti, dia terlepas solat subuh.’
‘Yang dia ni pun satu juga. Kenapa susah sangat nak bangun ni? Tak kan tak dengar suara aku? Mustahil. Nanti kalau aku kejut kuat-kuat nanti, takut dia marah pula. Ya Allah, macam mana ni?’
Auni buntu. Dia tidak tahu hendak berbuat apa-apa lagi dan dia terus keluar dari biliknya.

Mak Jenab ternampak Auni yang dalam keadaan resah dan gelisah.
“Kenapa ni Auni? Ery tak bangun lagi ke? Pagi ni kan dia dah kena bertolak ke KL.”

“Belum lagi, mak. Subuh pun belum lagi tu. Auni dah kejutkan dia tadi, tapi dia tak bergerak langsung. Tak tahulah dia buat-buat tak dengar ke apa.”

“Ya Allah. Tak solat subuh lagi? Biar mak yang kejutkan dia.”
“Tapi mak...”

Mak Jenab terus meluru masuk ke dalam bilik mereka. Tidak dihiraukan lagi panggilan dari Auni.

“Ery, Ery. Bangun. Subuh dah ni.” Mak Jenab mengoncang tubuh Ery. Namun, tetap gagal.

Auni pula serba salah.

“Ni tak boleh jadi ni. Tunggu sekejap.” Mak Jenab terus keluar dari bilik dan menuju ke dapur. Seketika kemudian Mak Jenab datang semula membawa semangkuk air.

Tenganga Auni dibuatnya. Dia tidak menyangka pula yang ibunya akan melakukan dengan sedemikian rupa.

‘Tapi bagus juga. Inilah akibatnya kalau susah sangat nak bangun.’
Mak Jenab menggunakan air tersebut dan dipercikkan ke muka Ery.
Pada mulanya Ery tidak bergerak, namun setelah Mak Jenab memperbanyakkan percikan barulah dia tersedar.

Ery membuka mata dan menyapu mukanya. Alangkah terperanjatnya dia apabila ibu mertuanya terpacak dihadapan.

“Eh! Mak. Mak buat apa kat sini?” Ery menahan malu.
‘Ni mesti kes aku susah nak bangun tidur ni. Ish! Malunya aku. Kenapalah penyakit susah nak bangun ni tak hilang-hilang lagi? Malulah aku. Aduih! Auni ni pun satu. Kenapa dia panggil mak pula? Dia tak boleh kejutkan aku sendiri ke?’ Ery membebel di dalam hati. Padahal dia tidak tahu yang Auni berpeluh-peluh hendak kejutkan dia bangun.

“Hah, bangun pun. Mak ingatkan kamu tak nak bangun lagi tadi. Kalau tak, mak boleh jirus satu mangkuk air ni.” Mak Jenab tergelak kecil. Auni turut mengikuti ibunya itu ketawa. Geli hatinya.

Ery menggaru-garu kepalanya. Malu?! Tak payah cakaplah. Terasa macam nak terbakar sahaja muka dia akibat menahan malu, tapi rasanya hati dia turut terbakar, sebab Aunilah punca ini semua terjadi.

“Dah, dah. Pergi mandi, ambil wuduk, pastu pergi solat subuh. Dah nak habis waktu dah ni.” Mak Jenab keluar menuju ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi.

Auni masih lagi ketawa. Lucu rasanya melihat Ery yang terkulat-kulat malu.

“Amboi, seronok ketawa nampak.” Pandangan diberikan kepada Auni.

“Hah! Mana ada.” Auni terkejut. ‘Alamak! Kantoi!’

“Habis, awak buat apa kat situ?”

“Em, saya nak keluar la ni. Nak tolong mak kat dapur.” Auni meluru ke muka pintu.

“Tak apa, tak apa. Ada ubi ada batas...” Ery menggumam sendirian.

*********

 “Hah, Ery. Kamu nak bertolak pukul berapa nanti?”

“Em, kalau tak ada apa-apa, dalam pukul 8 ni ayah. Insyallah, sempat sampai dalam waktu tengah hari nanti.”

“Temu janji kamu tengah hari ni ye?” Pak Badar hanya menginginkan kepastian.

“Haah, tengah hari ni.”

“Kesian kamu. Mesti penatkan?”

“Biasalah, ayah. Kerja, nak buat macam mana. Dah biasa dah. Hari ni kat tempat lain, hari esok kat tempat lain. Macam tulah selalu. Kadang-kadang makan pun tak sempat.”

“Ish! Ye ke macam tu? Tapi tak apa, sekarang kamu dah ada isteri. Makan, pakai kamu dah ada orang yang uruskan.”

Ery hanya tersenyum, sambil menjeling Auni. Auni pula hanya meneruskan sendukan nasi goreng ke dalam pinggan Ery. Auni buat tidak tahu sahaja.

“Auni dah siap kemas barang?” Soalan Pak Badar memeranjatkan Auni.

“Kemas barang? Barang apa? Nak pergi mana?” Auni musykil.

“Astrafirullahala’zim, budak ni. Tanya lagi barang apa? Nak pergi mana? Lupa dah, yang kamu sekarang ni dah jadi isteri orang? Mana suami kamu pergi, kamu kenalah ikut.” Mak Jenab mengucap panjang. Nasib baik dulang yang berisi air teh tidak terlepas dari tangannya, sempat di letakkan di atas meja makan.
Ery tersenyum gembira. Auni pula masam mencuka.

‘Aku kena ikut dia ni hari ni ke? Cepatnya. Tak kan aku nak tinggalkan mak dan ayah macam tu saja. Aku dah la tak pernah berpisah dengan mereka. Dengan Lisa pun aku tak puas berborak lagi. Ya Allah, macam mana ni...?’

“Em, kalau Auni tak ikut boleh tak?” Perlahan-lahan Auni bersuara.

“Ya Allah!! Auni!! Auni cakap apa ni?” Terkejut Mak Jenab dan Pak Badar mendengar pertanyaan yang diajukan oleh Auni. Nasib baik tak ada heart attack.

Segera Ery memberhentikan tegukan air teh ke mulut. Terkedu dia mendengar kata-kata dari Auni.

“Bukan Auni tak nak ikut, tapi Auni tak nak berpisah dengan mak dan ayah.” Bagaikan hendak mengalir air mata Auni mengeluarkan ayat tersebut. Sebak rasanya apabila mengenangkan dirinya akan berjauhan dengan kedua orang tuanya yang amat dia kasihi dan sanyangi.

Kasihan pula Ery apabila melihatkan Auni yang berada dalam kesedihan. Sayu rasa hatinya.

“Tak apalah mak, ayah. Saya yang izinkan dia tinggal kat sini dulu. Lagipun kat KL tu nanti Auni bosan pulak sebab dalam masa seminggu ni saya sibuk sikit.” Ery cuba untuk memberikan alasan yang dirasakan terbaik buat masa sekarang.

Terpana Auni mendengar alasan yang diberikan oleh Ery bagi pihaknya. Dia tidak menyangka yang Ery akan bekata begitu, padahal dia tidak pernah berbincang pun mengenai perkara ini dengan Ery.

“Kalau macam tu kamu cakap Ery, tak apalah. Mak pun rasa macam berat je nak berpisah dengan anak mak ni. Selama mak hidup, tak pernah mak berpisah dengan Auni, walau sekali pun.” Air mata Mak Jenab mula menitis.

“Mak, janganlah cakap macam tu. Nanti Auni pula yang menangis.” Digenggam tangan ibunya dengan erat. Sememangnya Auni tidak mahu untuk berpisah dengan kedua orang tuanya itu. Terutama sekali, Mak Jenab.

Selama ini ibunya itulah yang telah banyak berkorban untuk dirinya. Auni merasakan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Mak Jenab terlalu tinggi nilainya melebihi intan dan permata serta tidak termampu untuk dibalas.

Mak Jenab rela tubuhnya dijadikan sebagai perisai untuk Auni tatkala Pak Badar seolah-olah telah menggunakan senjata yang amat berbahaya dan ditujukan kepada Auni. Walaupun senjata tersebut adalah seperti tali pinggang, batang paip dan apa sahaja yang sempat dicapai oleh Pak Badar.

Mak Jenab jugalah yang akan menyapu minyak pada birat bekas pukulan yang melekat pada tubuh badan Auni. Mak Jenab adalah peneman yang setia di kala suka dan duka Auni. Tika gembira mereka akan ketawa bersama dan tika Auni berduka, Mak Jenab turut merasa. Maka dengan itu, bagaimana Auni mahu berpisah dengan ibunya itu? Sungguh, dia tidak rela.

***

“Em, awak. Betul ke awak izinkan saya tinggal kat sini dulu?” Auni memberanikan diri untuk bertanya. Perlahan-lahan dia menghampiri Ery yang sedang mengemas beg pakaiannya.

“Betul. Lagipun, itu yang awak nak kan?” Soalan diajukan semula oleh Ery. Dia tidak tahu perasaan apa yang sebenarnya yang berada didalam hatinya sekarang ini. Hatinya seolah-olah marah, walhal dia sendiri yang mengizinkan.

Ery masih lagi mengemas beg pakainya. Tidak dipandang wajah Auni walau sesaat pun.

Auni serba salah. Sememangnya dia tidak mahu berpisah dengan kedua orang tuanya. Namun, untuk membiarkan Ery pulang sendirian hatinya seakan- akan... Ah! Sukar untuk ditafsirkan. Dia sendiri tidak tahu apa yang dirasakan saat ini.

“Memang itu yang saya nak, tapi...”

“Dah la, saya nak bertolak dah ni. Takut nanti lewat pula sampai.” Ery terus keluar daripada bilik membawa bersama-sama beg pakaiannya. Auni semakin serba salah.

‘Apakah yang patut aku lakukan? Adakah aku telah menyakiti hatinya?’ Auni buntu.

“Mak, ayah. Ery balik dulu ye. Minta maaf sebab Ery tak dapat nak duduk kat sini lama-lama.” Tangan di hulur memohon restu dari kedua mertuanya.

“Tak apa, Ery. Kami faham. Hati-hati bawa kereta tu ye. Sampaikan salam kami pada orang tua kamu di sana. Kami doakan semoga kamu selamat sampai.” Pak Badar menepuk-nepuk bahu Ery. Kasihan pula melihat Ery yang terpaksa pulang begitu awal dan sendirian pula.

“Insyallah.”

“Eh, Auni. Yang kamu berdiri belakang pintu tu kenapa? Suami kamu dah nak balik dah ni. Mari sini salam.” Mak Jenab memanggil Auni yang berlindung di sebalik pintu.

Pelahan-lahan Auni melangkah. Hatinya mulai sedih dan sebak. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Ery.
“Saya minta maaf ye awak.” Kata maaf diucapkan saat Auni mencium tangan Ery. Matanya mulai berair. Auni sendiri tidak tahu mengapa kata maaf itu dilafazkan. Mungkin banyak sebabnya, seperti ‘minta maaf sebab tak ikut awak balik. Minta maaf kalau-kalau saya ada buat silap. Minta maaf..minta maaf dan minta maaf!’

Ery merasakan tiada perkataan yang dirasakan sesuai untuk dia keluarkan saat ini. Oleh sebab itulah dia segera memaut tubuh Auni dan memeluknya. Auni terkedu.

Mak Jenab dan Pak Badar memandang dengan hati yang sayu. Mereka menduga mungkin Ery sedih mahu berpisah seketika dengan Auni walaupun dugaan mereka itu ada betulnya.
“Jaga diri baik-baik ye. Abang pergi dulu.” Ery memasuki keretanya. Pedal minyak ditekan setelah salam diberi.

Auni hanya memandang kereta Ery yang sudah bergerak jauh dan semakin jauh. Dia masih lagi tegak berdiri dan kaku. Sedang Mak Jenab dan Pak Badar sudah mula menapak masuk ke dalam rumah.

“Eh! Sekejap! Apa dia cakap tadi? Abang?!” Auni seolah-olah baru tersedar dari lamunannya. Kata-kata dari Ery sebentar tadi terngiang-ngiang ditelinganya.

‘Betul ke apa yang aku dengar?’ Auni musykil. Dia keliru. Adakah apa yang diucapkan oleh Ery tadi betul-betul hinggap dipendengarannya? Mengapa tiba-tiba Ery membahasakan dirinya ‘abang’? Adakah secara tidak sengaja? Auni kesal kerana gagal menemui jawapan daripada soalan-soalannya.

2 comments: